Mengikut cerita yang disampaikan dari penduduk Sungai Kinabatangan, di sungai Kinabatangan tersimpan satu lagenda yang cukup hebat yang menjadi kebanggaan penduduk setempat yang tinggal di kawasan tersebut. Sebuah perjanjian telah termetarai antara seekor buaya dengan penduduk sekitar yang dipercayai berketurunan Orang Sungai. Perjanjian lama ini dikenali sebagai ‘Gegajanji Gunai Boya’ dalam bahasa masyarakat suku kaum Orang Sungai. Isi Perjanjian yang dibuat cukup ringkas iaitu sesiapa sahaja berketurunan Orang Sungai yang tinggal di sepanjang sungai Kinabatangan atau di mana-mana sungai tidak akan dibaham oleh bujang senang dan kehidupan mereka tidak akan diganggu.
Kisah ini tidak dapat dibuktikan kebenarannya lagi samada ianya mitos atau benar-benar terjadi. Namun begitu, perjanjian ini sudah tidak diamalkan dan sudah tidak menjadi pegangan penduduk sungai Kinabatangan, hanya sebagian kecil sahaja yang masih mempercayainya. Walaupun begitu, perjanjian ini merupakan satu khazanah yang mempunyai nilai yang tersendiri dan kisah ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi oleh nenek moyang mereka.
Walaupun tiada bukti bertulis tentang perjanjian ini, masih terdapat bukti lisan yang menjadi pegangan dan kepercayaan masyarakat yang diceritakan oleh beberapa orang warga tua. Menurut cerita yang disampaikan ‘Gegejanji Gunai Boya’ atau perjanjian dengan sang bedal merupakan satu peristiwa yang benar-benar terjadi di dalam masyarakat Orang Sungai suatu ketika dahulu, hanya mereka yang sudah lanjut usianya yang mengetahui kisah ini. Menurut cerita yang telah disampaikan oleh seorang warga emas, perjanjian lama ini dikatakan bermula apabila seekor raja buaya yang digelar Aki Turonggari dengan seorang perempuan tua atau dikenali sebagai seorang dukun Aduk Sibulig-buliq. Mengikut kepada isi kandungan perjanjian itu, selagi anak cucu Aduk Sibulig-buliq mematuhi pantang larang seperti mandi, membasuh pakaian atau mencari rezeki selagi itulah keturunan Aki Turonggari akan mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui bersama.
Ketika masyarakat Orang Sungai masih berpegang teguh dengan pantang larang dan perjanjian ini tiada seorang pun yang pernah mati disebabkan dibaham buaya. Dan menurut cerita yang disampaikan oleh beberapa orang nelayan yang berketurunan Orang Sungai, mereka pernah dikejutkan dengan kemunculan seekor buaya sepanjang 15 kaki. Mereka yang terkejut dengan kehadiran buaya tersebut tidak dapat berbuat apa-apa selain berserah diri. Namun begitu, setelah beberapa seketika buaya tersebut secara perlahan-lahan tenggelam dan menghilangkan diri begitu sahaja. Bukan tidak pernah sang bedal menyambar dan membaham manusia di tepi sungai Kinabatangan sebagai santapannya. Baru-baru ini, terdapat seorang pekerja ladang warga Indonesia yang bekerja di ladang kelapa sawit telah menjadi habuan buaya. Pekerja tersebut dikatakan sedang menjala ikan di Sungai Kinabatangan
Yang pastinya, masyarakat etnik Orang Sungai di Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama atau di mana saja di Sabah tetap tabah meneruskan kehidupan di tebing sungai. Meskipun masih teguh berpegang pada janji itu, mereka cukup pasti sang bedal bukanlah penghuni sungai yang boleh diberikan kepercayaan sebagai teman.
Comments
Post a Comment